Saturday 1 June 2013

SOLAT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Solat atau Sembahyang adalah rukun Islam yang kedua selepas mengucapkan dua kalimah syahadah dan merupakan ibadah yang dituntut dari setiap orang muslimin. Setiap muslimin diwajibkan menunaikan Sembahyang fardhu 5 waktu pada waktu-waktu yang telah ditentukan. Hukum meninggalkan sembahyang ialah fasik (iaitu melakukan dosa besar).

Orang yang mengerjakan sembahyang mempunyai hubungan yang rapat dengan
Allah Subhanahu Wata’ala kerana sembahyang itu mengandungi pujian, istighfar, doa, meminta pertolongan dan pengakuan. Sembahyang merupakan keseronokan dan rehat bagi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Daripada Huzaifah katanya yang bermaksud: “Adalah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam apabila baginda menghadapi perkara penting atau kesusahan, baginda sembahyang” (Sunan Abu Daud).
Sembahyang menegah seseorang dari melakukan perkara keji dan mungkar. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Ankabut, ayat 45:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
“Bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa Yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan Yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan.”
Blog ini bertujuan untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan memberi tunjuk ajar kepada orang ramai secara umum mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan sembahyang, terutama sekali dari segi perlaksanaannya dan juga jenis-jenisnya. Selain itu, blog ini juga dihasratkan untuk menjadi sumber rujukkan bagi para pelajar dan juga guru dalam usaha pendidikan, pengamalan  dan penghayatan  ibadah sembahyang.
Akhir sekali, kami mendoakan semoga para pelawat blog ini memperolehi kebaikkan dan faedah dari ilmu pengetahuan yang telah kami susun dalam blog ini.

Sekian

No comments:

Post a Comment