Saturday 1 June 2013

SOLAT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Solat atau Sembahyang adalah rukun Islam yang kedua selepas mengucapkan dua kalimah syahadah dan merupakan ibadah yang dituntut dari setiap orang muslimin. Setiap muslimin diwajibkan menunaikan Sembahyang fardhu 5 waktu pada waktu-waktu yang telah ditentukan. Hukum meninggalkan sembahyang ialah fasik (iaitu melakukan dosa besar).

Orang yang mengerjakan sembahyang mempunyai hubungan yang rapat dengan
Allah Subhanahu Wata’ala kerana sembahyang itu mengandungi pujian, istighfar, doa, meminta pertolongan dan pengakuan. Sembahyang merupakan keseronokan dan rehat bagi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Daripada Huzaifah katanya yang bermaksud: “Adalah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam apabila baginda menghadapi perkara penting atau kesusahan, baginda sembahyang” (Sunan Abu Daud).
Sembahyang menegah seseorang dari melakukan perkara keji dan mungkar. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Ankabut, ayat 45:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
“Bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa Yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan Yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan.”
Blog ini bertujuan untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan memberi tunjuk ajar kepada orang ramai secara umum mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan sembahyang, terutama sekali dari segi perlaksanaannya dan juga jenis-jenisnya. Selain itu, blog ini juga dihasratkan untuk menjadi sumber rujukkan bagi para pelajar dan juga guru dalam usaha pendidikan, pengamalan  dan penghayatan  ibadah sembahyang.
Akhir sekali, kami mendoakan semoga para pelawat blog ini memperolehi kebaikkan dan faedah dari ilmu pengetahuan yang telah kami susun dalam blog ini.

Sekian

Mari belajar berwuduk.....;-)



Wudhu

Sebelum kita mula mendirikan sembahyang, kita diwajibkan untuk berwudhu (mengambil air sembahyang atau mengangkat hadas kecil) terlebih dahulu.

Di riwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :  Dari Rasulullah saw. beliau bersabda: “Sembahyang salah seorang di antara kalian tidak akan diterima apabila ia berhadas hingga ia berwudhu “.

Wudhu dari segi BAHASA ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota – anggota tertentu. Dari segi SYARA’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat – syarat dan rukun – rukun yang tertentu.

Firman Allah dalam Surah al – Maidah ayat 6 berbunyi:
Wahai orang-orang Yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhulah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali

Hukum berwudhu adalah WAJIB kepada orang yang hendak melakukan sembahyang, tawaf, menyentuh Al – Quran, sujud syukur dan sujud tilawah

Tuesday 11 December 2012